? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, January 28, 2010

masyarakat bersuara dalam kalangan belia

Kebebasan bersuara dalam kalangan belia

Apa yang membezakan golongan belia pada masa dahulu dan belia dengan pada masa ini hanyalah ‘kebebasan suara’ mereka yang sedikit terbatas. Bukannya terbatas langsung. Belia dahulu bebas berdemonstrasi di jalanan dan tidak pada zaman sekarang. Golongan Belia dahulu bebas melontarkan pandangan dan idealisme masing-masing di kawasan umum di dalam kampus, tidak seperti hari ini.

Pada saya semua itu tidak menghalang proses pengembangan intelektual belia langsung. Golongan Belia masih bebas beraktiviti dan berpersatuan. Golongan belia masih bebas mengasah bakat komunikasi dan kepimpinan di dalam bilik² persatuan, bilik² mesyuarat dan juga dewan² kuliah yang tertutup dengan izin. Jika golongan Belia ada isu yang dibawa keluar masih ada ruang yang lebih ’sopan’ Paling tidak pun jika akta-akta tidak dipinda buat masa sekarang, belia masih boleh melontarkan idealisme mereka melalui laman² blog sepertimana yang sedang anda baca sekarang. Tiada dalam akta-akta melarang golongan belia berideologi menggunakan media alternatif ini. Apatah lagi jika belia itu menyamar dirinya. Tidak bebaskah itu?

Seperkara lagi yang perlu dibezakan adalah, perbezaan zaman dahulu dan sekarang. Golongan belia dahulu bebas melakukan aktiviti seperti berdemonstrasi dan menjaga kebajikan masyarakat adalah kerana masa mereka yang agak terluang. Sistem dahulu mengamalkan sistem penggal yang bermakna setahun hanya sekali peperiksaan utama.

Mampukah belia hari ini mengikut jejak langkah belia dahulu yang mempunyai banyak masa terluang untuk membangunkan sahsiah dan kepimpinan diri? Jika betul ada sesuatu yang perlu diubah bagi melahirkan belia yang benar-benar berdaya saing bukan sahaja dalam bidang akademik, maka cadangan saya adalah sistem semester dan silibus akademik yang padat itulah perlu diubah.

masyarakat bersuara dalam kalangan remaja

Perspektif: Belia perlu ruang bersuara buktikan kepemimpinan

Sebenarnya, bagi belia, termasuk remaja dan pelajar, pengiktirafan hakiki yang diminta bukanlah dalam bentuk anugerah. Apa yang benar-benar diminta ialah untuk suaranya didengar, dapat berpartisipasi secara penuh dan berkesan melalui pendekatan penghakupayaan (empowerment) sehingga ke peringkat membuat keputusan bagi seluruh hal ehwal kehidupan dan masa depannya.
Malangnya, inilah perkara yang jarang berlaku dalam masyarakat kita. Kita jarang mendengar suara mereka. Kalau adapun langkah mendengar suara mereka, contohnya dengan mengadakan dialog, tetapi tidak berlaku dalam bentuk komunikasi dua hala. Kita bercakap dan mereka mendengar saja. Tidak ada tindak balas daripada remaja. Remaja dikatakan pemangkin Negara malah suara mereka amat dipentingkan.

Keadaan ini berlaku mungkin kerana sebahagian kita sebagai ibu bapa, guru, pemimpin dan pengurus belia, pegawai kerajaan dan ahli politik, kurang kemahiran berkomunikasi dengan belia, remaja dan pelajar. Jika ini faktornya, maka ia mudah diselesaikan. Kita cuma perlu menambah kemahiran, misalnya, dengan menelaah buku berkaitan, seperti tulisan Adele Faber dan Elaine Mazlish (2005), How to Talk So Teens Will Listen & Listen So Teens Will Talk. Tetapi, apa yang merisaukan ialah kemungkinan keadaan ini berlaku akibat faktor lebih besar, iaitu ketidakfahaman kita terhadap permintaan belia yang mahu suaranya didengar, atau lebih parah lagi, sekiranya ia berlaku akibat keengganan kita meraikan permintaan mereka. Di samping itu, sekiranya kita memahami dan bersedia meraikan permintaan mereka tetapi menggunakan pula pendekatan salah, maka, suara belia masih juga tidak didengari dalam erti kata sepatutnya. Oleh itu, amat penting kita memahami permintaan belia, remaja dan pelajar, bersedia meraikannya dan menggunakan pendekatan yang sesuai. Barulah mereka puas kerana suaranya benar-benar didengar. Faktor utama mengapa sebahagian kita tidak mendengar suara belia ialah kerana kita tidak mengiktiraf kepemimpinannya. Kita menganggap mereka sebagai pemimpin masa depan saja. Jadi, hari ini, ketika masih belia, remaja dan pelajar, kita memimpin mereka. Sebab itulah kita berasa yang kita tahu segala dan mereka cuma perlu – malahan dipaksa – mengikut saja cakap kita.

Memanglah, untuk menjadi pemimpin utama sekolah, universiti, masyarakat dan kerajaan, mereka perlu menunggu masa depan. Tetapi, hakikatnya ialah pada hari ini juga, mereka adalah pemimpin dalam tiga keadaan, iaitu sebagai pemimpin angkatan yang lebih muda daripadanya, sebagai pemimpin angkatan yang sebaya dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan dengan kita yang lebih tua daripadanya. oleh itu, belia tidak boleh hanya dilihat sebagai ‘peserta’ sesuatu dasar dan program, tetapi hendaklah dilihat sebagai ‘pemimpin’ atau ‘pemimpin bersama’ dasar dan program itu. Mengiktiraf belia sebagai pemimpin adalah antara matlamat Perdana Menteri ketika menjadi Ketua Pengarah Belia apabila beliau mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada 1972, yang ketika merasmikannya, disifatkan Allahyarham Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sebagai ‘Parlimen Belia’. Di sini, pemimpin belia berunding dengan pemimpin kerajaan.Inilah maksud ayat ‘partisipasi belia dalam perancangan negara’ dalam Dasar Belia Negara yang diluluskan kerajaan pada 1985 dan ‘perkongsian dalam pembangunan’ dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) yang menggantikan dasar yang terdahulu. Inilah juga maksud penyertaan remaja dalam dokumen pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan khusus untuk belia, iaitu Guidelines for Further Planning and Suitable Follow-Up in the Field of Youth (1985). Bagi membudayakan konsep itu, maka pada 1985 yang dirayakan sebagai Tahun Belia Antarabangsa menggunakan tema ‘Partisipasi, Pembangunan, Keamanan’. Selanjutnya, Persidangan Pertama Menteri-menteri Belia Sedunia anjuran PBB pada 1998, melalui Lisbon Declaration on Youth Policies and Programmes menegaskan keperluan meningkatkan perkongsian membuat keputusan di kalangan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan belia, termasuk pemimpin belia. Kini, di samping partisipasi belia, istilah yang membudaya ialah ‘penghakupayaan belia’ (youth empowerment). Antara yang mula-mula menggunakannya ialah Setiausaha Agung MBM dalam ucap utamanya di Forum Belia Serantau anjuran Program Belia Komanwel pada 1997. Istilah ini kemudian digunakan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Belia Komanwel di Kuala Lumpur dan Persidangan PBB pada 1998 itu.
Makna penghakupayaan belia ialah ‘membolehkan dan mendapatkan belia untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya’.

Selanjutnya, penghakupayaan belia mencadangkan kerangka ‘governans baru’, iaitu transformasi daripada keadaan kini di mana wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan, perniagaan dan belia/masyarakat), kepada keadaan baru di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga sektor itu yang bekerjasama pada kedudukan yang adil.Tujuannya supaya perwakilan belia berada secara rasmi, dan bukannya ikut suka pihak atasan saja hendak menjemputnya atau tidak, dalam seluruh struktur dan proses membuat keputusan. Barulah kita benar-benar mendengar suara belia.Remaja harus memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan menggunakan hak bersuara.

Wednesday, January 20, 2010

Kebaikan & keburukan penggunaan laman web dalam kalangan belia.


PENDEDAHAN kepada komputer dan teknologi maklumat (IT) mewujudkan budaya celik komputer di kalangan masyarakat terutama belia. Sektor awam dan swasta telah memanfaatkan penggunaan komputer dan IT dalam memantapkan operasi mereka. Penggunaan komputer dan rangkaian yang diwujudkan memudahkan perdagangan bebas merentasi sempadan negara. Kalau komputer boleh diibaratkan sebagai sebilah pisau, ia boleh memotong dan juga membunuh. Kita khuatir terhadap kecenderungan sesetengah golongan masyarakat terutama belia yang membuang masa di depan komputer dan tidak memanfaatkan maklumat yang boleh ditimba. Ada belia yang duduk sepanjang hari di depan komputer untuk melayari talian ‘chat’, pornografi , dan permainan video.


“Technology changes every second.” Berdasarkan pengertian ini, setiap penduduk dunia, jika boleh,tidak mahu ketinggalan dalam mengejar arus perkembangan teknologi yang begitu pesat. Bahkan, anak-anak kecil juga sudah mula mengenali apa itu Internet kerana pendedahan awal ibu bapa dan sekolah yang mahu generasi muda tidak ketinggalan dalam mengenali teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam kita mengejar arus kemodenan, Internet telah banyak memberi input dan merupakan salah satu penyalur maklumat penting dan terkini. Banyak faedah yang boleh didapati menerusi penggunaan Internet, cuma manusia saja yang menyalah gunakan Internet ke arah kerosakan moral dan etika. Adalah lebih baik jika kita kupaskan serba sedikit kebaikan serta keburukan Internet di negara ini. Statistik juga mengatakan bahawa masyarakat Malaysia merupakan diantara negara tertinggi yang melayari laman web sosial. Ini jelas menunjukkan belia banyak dipengaruhi oleh internet untuk mendapatkan hiburan dan bukannya untuk mendapatkan informasi.


Antara kebaikan Internet adalah maklumat begitu mudah dan cepat disalurkan untuk digunakan dalam
pelbagai urusan, seperti dalam bidang penyelidikan dan pengumpulan data. Selain itu komunikasi antara negara di dunia menjadi semakin mudah dan ringkas dengan wujudnya e-mel dan ‘chat’, di mana kos perhubungan begitu murah jika dibandingkan dengan penggunaan telefon dan juga begitu cepat jika kita membuat perbandingan dengan penghantaran surat biasa melalui pos.


Urusan perniagaan dan perbankan semakin mudah dengan pengenalan ‘e-banking’. Kini, pelanggan bank tidak perlu bersusah payah beratur di kaunter-kaunter bank kerana urusan perbankan boleh dilakukan menerusi Internet. Pembayaran bil juga kini dilakukan menerusi Internet dan ini merupakan kemudahan yang paling mendapat sambutan ramai kerana kemudahan ini nyata menjimatkan masa pengguna.Antara penyalahgunaan Internet pula ialah Internet digunakan untuk melayari laman-laman web lucah dan tidak berfaedah. Pembaziran waktu bekerja kerana sering berada di ‘chat room’ untuk berbual sesama rakan. Kemudahan yang ada membolehkan pelbagai jenis laman web baru ditubuhkan untuk tujuan tidak sihat, seperti laman-laman web politik yang tidak memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Selain itu penyalahgunaan yang sering kita dengar adalah pengiriman spam dikategorikan sebagai sampah Internet merupakan salah guna yang terbesar. Tidak kurang juga dengan kes pemalsuan yang antara lain melibatkan pengubahsuaian laporan dan data sesebuah organisasi swasta dan awam. Wujud juga kes penyebaran virus dan ugutan menggodam. Sesetengah pihak yang membuat kajian terhadap isu jenayah dan keselamatan komputer sebelum ini pernah mendedahkan bahawa sebahagian respondan yang terlibat dalam tinjauan tersebut melaporkan kerugian dari segi kewangan akibat serangan penceroboh. Jika ditafsirkan, nilai kerugian terkumpul dari segi kewangan tidak mustahil boleh mencecah jutaan ringgit.


Sejauh manakah kesan buruk ini akan merosakkan generasi muda negara? Adakah kita akan membiarkan saja, kerana berpendapat ini adalah akibat daripada impak globalisasi seperti yang diwar-warkan Kerajaan?Adakah masih menjadi tugas ibu bapa semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada budaya negatif ini? Atau perlukah penapisan laman Internet dikuatkuasakan demi menjaga budaya dan tatasusila timur?Masyarakat perlu sedar Internet bertujuan mempermudah urusan dan untuk memperkaya ilmu,serta menjadi medan pertukaran pendapat dan idea. Akan tetapi, pengaruh budaya luar, terutama dari barat,telah merosakkan minda masyarakat kita, yang selama ini terkenal dengan adab ketimuran dan penuh dengan sopan santun.


Kita perlu ingat, dalam mengejar arus globalisasi yang semakin pantas, dan untuk melengkapkan diri seiring dengan negara maju yang lain, kita tidak perlu menggadaikan maruah dan jati diri kita sebagai orang timur. Sebagai rakyat Malaysia yang bijak, kita hendaklah cuba mewujudkan satu budaya Internet yang sihat dalam usaha kita memperlengkapkan diri sebagai seorang yang berilmu dan berpengetahuan. Ini membolehkan kita terus bersaing dalam dunia yang dikuasai dan dimonopoli oleh pelbagai teknologi terkini yang menggerak pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

Kebaikan dan keburukan penggunaan laman web dalam kalangan belia.

...BELIA DAN TEKNOLOGI...
Masyarakat kini hidup dalam era globalisasi yang berteraskan sains dan teknologi dalam rutin seharian. Kebergantungan masyarakat terhadap penggunaan sains dan teknologi dalam apa jua aspek kehidupan serta penggunaan unsur-unsur kreatif sangat penting di dalam kehidupan seharian. Dengan wujudnya information technology and communication (ICT) ia dapat menjadi nadi utama dalam kemajuan serta pembaharuan di dalam ilmu pengetahuan menerusi perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di kalangan belia. Penubuhan Sekolah Bestari telah membuktikan bahawa penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi adalah sangat memberansangkan dan telah memberi impak yang positif dalam mencapai wawasan 2020. Perkara ini menjadi aspek penting apabila pada usia awal remaja masyrakat Malaysia telah didedahkan dengan teknologi maklumat.

Pada masa kini, penguasaan belia di dalam ICT bagaikan satu perkara yang amat penting. Kepentingan di dalam penggunaan teknologi maklumat telah menyebabkan belia, terutama sekali pelajar IPTA dan IPTS sedar akan kewujudan teknologi maklumat telah banyak membantu mereka di dalam proses pembelajaran dan dalam pencarian maklumat tambahan. Bahkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh pelajar mudah didapati melalui internet, ini merupakan salah satu mekanisma yang secara tidak sedar telah mendorong remaja harus seiring dengan teknologi. Dengan perkembangan ICT, pelajar IPT tidak perlu runsing dalam carian maklumat mengenai tugasan kerana dengan capaian menerusi internet, maklumat boleh diperoleh dengan cepat dan tepat, berbanding dengan 20 tahun dahulu di mana maklumat hanya diperolehi dari perpustakaan dan majalah-majalah tertentu sebagai rujukan. Penerimaan belia terutama pelajar IPT terhadap perkembangan dan pengaruh ICT dalam kehidupan seharian perlu bermula dengan keyakinan diri dan sikap yang positif. Ini termasuklah minat mereka di dalam ICT, pendirian mereka mengenai sejauh mana ICT dapat mengubah atau membantu mereka dalam aktiviti harian dan sebagainya. Kini, penguasaan ICT di kalangan belia adalah sangat memberansangkan di sebabkan kebanyakan belia menggunakan ICT sebagai medium dalam menyalurkan maklumat serta carian maklumat.
Pihak kerajaan sentiasa berusaha dan memberi keutamaan untuk membentuk masyarakat bermaklumat dan berilmu menerusi penggunaan ICT secara meluas dan menyeluruh.Apabila belia telah menguasai teknologi maklumat dan komunikasi, ia akan membuka ruang kepada mereka dalam memajukan diri.Walau bagaimanapun, pengusaaan di dalam ICT dapat membantu para graduan dalam mencari jawatan kosong dalam bidang pekerjaan. Dengan wujudnya laman web seperti JobStreet, JobSeeker dan sebagainya dapat memudahkan lagi para graduan untuk mencari pekerjaan. Malah, pengisian borang untuk jawatan-jawatan kerajaan juga boleh diisi menerusi laman web. Faedah dalam penguasaan ICT sememangnya memberi pulangan kepada belia yang dapat menguasainya untuk memajukan diri mereka. Penguasaan di dalam Bahasa Inggeris bukan lagi menjadi alasan kepada belia untuk mempelajari ICT disebabkan terdapat banyak laman web dan juga software dihasilkan dalam Bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, penggunaan ICT banyak mendorong para belia untuk lebih berfikir secara kreatif dan kritis. Ini dapat dilihat melalui penghasilan blog di mana belia semakin berani bersuara akan sesuatu isu, terutama isu yang melibatkan kemanusiaan. Kepekaan serta pandangan belia tentang sesuatu isu secara kritis dapat membuktikan kematangan mereka dalam menyumbangkan idea. Bukan itu sahaja, penguasaan belia di dalam ICT semakin mantap menerusi penyertaan pelajar-pelajar universiti seluruh Malaysia di dalam pertandingan Robocon Malaysia yang mendapat sambutan yang menggalakkan dari 64 kumpulan daripada 31 pusat pengajian seluruh Malaysia.