? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, March 26, 2010

Teknologi dan pendidikan



Teknologi dan pendidikan
Wawasan 2020 yang diumumkan pada tahun 1991 telah mencadangkan beberapa panduan untuk kemajuan negara Malaysia dalam abad kedua puluh satu. Untuk mencapai objektif menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020 (Mahathir 1991), penggunaan sains dan teknologi secara pesat amat perlu. Malaysia perlu melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja mempunyai kepekaan terhadap profesionalismanya tetapi juga sentiasa bersedia untuk menerima perubahan.

Pendidikan sebagai satu institusi sosial memainkan peranan yang penting dalam penyediaan tenaga kerja pakar, teknikal dan profesional. Pendidikan juga dapat membentuk sikap, nilai serta set minda seperti bersedia untuk menerima perubahan, inovasi serta penggunaan sains dan teknologi dalam bidang kerja dan kehidupan seharian terutamanya di kalangan generasi muda. Dari segi pembentukan sebuah negara, pendidikan menyediakan belia-belia untuk hidup sebagai warganegara yang baik. Menerusi pendidikan, asas-asas kemahiran berbahasa dibentuk. Di Malaysia, kemahiran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa ibunda dibentuk dan diperteguhkan menerusi sistem pendidikan. Ini sangat penting kerana dalam konteks ledakan ilmu dan globalisasi penguasaan bahasa menjamin keyakinan seseorang warga Malaysia itu untuk berkomunikasi secara baik dan kemas.
Dalam situasi tertentu konsep sosialisasi atau pembudayaan digunakan untuk merujuk kepada proses pendidikan. Secara umum, pembudayaan itu merujuk kepada proses seseorang individu menguasai ilmu pengetahuan, nilai-nilai, norma, sikap dan lain-lain. Dengan perkataan lain, ia merujuk kepada proses menghayati dan menerima budaya masyarakat di sekeliling. Menerusi pembudayaan, seseorang itu dididik menjadi manusia yang berperanan sebagai anggota masyarakat. Jadi dari segi konsep, pembudayaan adalah lebih luas daripada konsep pendidikan formal. Ia merangkumi proses-proses didikan awal di rumah sehinggalah ia didedahkan kepada agensi-agensi lain semasa remaja dan dewasa.

Berbagai-bagai takrifan telah diberikan mengenai teknologi pendidikan
"Teknologi pendidikan ialah gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan"
(Crowell (1971):Encyclopedia of education)
"Teknologi dalam pendidikan ialah penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam keperluan latihan, yang meliputi kemudahan belajar dengan menggunakan persekitaran setakat mana ianya menimbulakn pembelajaran"
(Uhwin Derek (1976): Applying Educational Technology)
Kesimpulan: Teknologi pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.

Perubahan kurikulum pendidikan
Perubahan pada kurikulum sekolah adalah perlu sejajar dengan perubahan-perubahan guna tenaga manusia. Justeru itu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah diperkenalkan didalam sistem pendidikan Malaysia. Kurikulum perlu bersifat futuristik di mana keperluan masa kini dan masa hadapan dapat dipenuhi oleh sistem pendidikan. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR –1983) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM – 1988) telah diwujudkan untuk membentuk satu konsep kesepaduan antara perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani individu secara menyeluruh. Atas kesedaran inilah usaha menerapkan nilai-nilai murni disarankan dalam setiap matapelajaran. Ini bersesuaian sekali dengan gagasan untuk membina masyarakat penyayang yang disarankan oleh Wawasan 2020.
Satu hakikat penting yang perlu kita sedari ialah bahawa walaupun sekolah berada di tengah-tengah masyarakat dan sentiasa terdedah kepada gelombang penghidupan, berbanding dengan tempat-tempat lain, ia masih merupakan satu-satunya tempat yang terkawal buat masa ini. Maka tidak hairanlah jika ramai mengharapkan kepada sekolah: ibu bapa mengharapkan kepada sekolah dapat menjadikan anak-anak mereka manusia; masyarakat mengharapkan kepada sekolah dapat melengkapkan generasi muda dengan nilai-nilai dan budaya bangsanya; majikan mengharapkan kepada sekolah dapat melahirkan sumber manusia yang sesuai dan berkualiti; dan negara pula mengharapkan kepada sekolah dapat menjayakan pembentukan warganegara yang baik. Sekolah dianggap sebagai benteng penyelamat anak didik, generasi muda dan pewaris bangsa.
Memikirkan tentang pendidikan adalah memikirkan tentang rupa bentuk manusia, jenis ketrampilan, matlamat-matlamat yang amat diperlukan untuk kesejahteraan sosial dan mutu serta memikirkan tentang kewujudan tamadun yang lain.

(Hanna Hloborn Gray)

Perubahan pada sistem pendidikan

Reformasi pendidikan melibatkan kajian semula serta melakukan perubahan-perubahan terhadap sistem pendidikan. Ini dilakukan untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan sistem pendidikan untuk memenuhi keperluan semasa. Sistem pendidikan yang berwibawa mestilah bersifat dinamis dan ia perlu mengalami reformasi.
Pengurusan dan kepimpinan bagaikan dua permukaan wang siling, iaitu wujud satu simpulan yang akrab dan bersepadu. Pengurusan yang baik, cekap dan berkesan mencerminkan kualiti kepimpinan dan sebaliknya. Pengurusan dan kepimpinan mestilah berkualiti dan berwibawa untuk mencapai objektif dan matlamat kumpulan atau organisasi. Aspek pengurusan dan kepimpinan menjadi kritikal kerana institusi pendidikan adalah satu institusi sosial. Umpamanya, jika sesebuah kilang itu tidak dapat menghasilkan barangan yang menepati piawaiannya, barang tersebut boleh dibuang atau diproses semula. Seandainya pengurusan pendidikan gagal, anak didik yang terbentuk itu tidak mudah untuk dirungkai atau diolah semula.
Falsafah Pendidikan Negara.
Misi Kementerian Pendidikan Malaysia adalah untuk membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dari segi kualiti bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara. Misi ini kemudianya telah dimasukkan ke dalam Akta Pendidikan 1996.
Dasar Pendidikan negara perlulah berdasarkan kepada suatu falsafah yang jelas. Falsafah ini hendaklah merangkumi kepentingan agama, kaum, demografi, keperluan semasa dan sebagainya. Falsafah merupakan rumusan yang mengandungi ciri-ciri sahsiah pelajar seperti yang dihasratkan.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
(Falsafah Pendidikan Negara 1990 halaman 6)

Penggunaan Teknologi Maklumat
Kerajaan telah menubuhkan Koridor Raya Multi-media dimana ia telah dapat membangunkan teknologi maklumat di Malaysia. Maklumat-maklumat dari seluruh dunia dapat dihubungkan terus kepada pengguna. Penggunaan teknologi maklumat secara yang betul dan bermoral akan memberi manfaat akan tetapi penyalahgunaan teknologi maklumat adalah sebaliknya. Teknologi maklumat akan meruntuhkan sempadan politik negara-negara di dunia ini.
Pendidikan di Malaysia maju setapak lagi dengan penubuhan Sekolah Bestari di mana penggunakan multi-media dijadikan asas pendidikan.


Pendemokrasian Pendidikan
Globalisasi dan imperialisme pendidikan telah menjadikan kerajaan peka terhadap peluang pelajaran bagi penduduk di kawasan luar bandar. Pendidikan di luar bandar perlu diberi perhatian yang sama seperti sekolah di bandar. Masalah kekurangan guru terlatih, taraf kesihatan yang rendah dan kekurangan prasarana yang berkualiti merupakan faktor penghalang proses pembinaan sahsiah, bakat dan kebolehan kanak-kanak.
Untuk merealisasikan pendemokrasian pendidikan, kerajaan telah memberi peruntukan-peruntukan yang boleh dimanfaatkan termasulah membina asrama-asrama bagi membolehkan pelajar-pelajar menikmati kemudahan. Dalam Rancangan Malaysia Kedua, kerajaan telah membina sepuluh sekolah menengah sains dan berpuluh-puluh lagi asrama diseluruh pelusuk negara.


Agama Dan Gejala Sosial
Mari kita renung rencana berikut;
Jumlah kes juvana makin meningkat dari sehari ke sehari. Dalam tahun 1997, jumlah kes juana yang didapati bersalah oleh mahkamah ialah 4,590 kes dan angka ini terus meningkat. Dalam tahun 1998 terdapat 6,338 kes juana yang didapati bersalah oleh mahkamah. Penambahan kes dari tahun 1997 hingga tahun 1998 adalah 38.08 peratus.

0 comments: